mutakhir

Abang bomba manfaatkan tanah sekangkang kera [METROTV]

Oleh Malik Muhamad

Kuala Nerus: Walaupun ruang tanah lapang hanya sekangkang kera di belakang rumahnya, ia tidak menghalang anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Mohd Zuhan Shafei mengusahakan tanaman nanas jenis yankee di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, di sini.

Bermula dengan 10 pokok, kini Mohd Zuhan, 42, yang berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Kota, Kuala Terengganu menanam hampir 200 pokok menggunakan polibeg di beberapa kawasan di taman berkenaan.

Dia yang menjadikan waktu lapang sebagai hobinya bercucuk tanam gembira apabila dapat berkongsi ilmu dengan penduduk taman berkenaan terutama dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kata orang berbudi kepada tanah pasti akan dapat hasilnya. Saya ambil kata-kata hikmah itu sebagai pedoman untuk bercucuk tanam walaupun kawasan lapang di taman perumahan saya tidak begitu besar.

"Alhamdulillah selepas lebih dua tahun mengusahakan nanas yankee ini, kini saya mempunyai lebih 200 pokok berbanding 10 pokok pada awalnya dan semuanya ditanam dalam polibeg di kawasan kejiranan.

"Saya memilih untuk menanam nanas kerana penjagaannya tidak rumit dan mampu bertahan walaupun tidak disiram selama seminggu," katanya.

Menurutnya, setakat ini dia tidak menjual benih atau buah, sebaliknya hanya memberi kepada jiran walaupun ramai mahu membelinya.

Katanya, mungkin suatu hari nanti dia akan menjual buah dan benih kerana nanas itu kini berharga RM6 sekilogram.

Disiarkan pada: September 15, 2021 @ 5:33pm
d