mutakhir

Tasik Titiwangsa tumpuan warga kota beriadah

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: "Saya bawa anak-anak datang ke sini untuk beriadah memandangkan sudah lama kami sekeluarga tidak melakukan aktiviti sebegini," kata Fazleen Hashim, 42, yang juga pengunjung Tasik Titiwangsa, di sini.

Fazleen berkata, dia bersama empat anak serta suaminya yang menetap di Seri Kembangan, Selangor, tiba di tasik berkenaan, kira-kira 8 malam tadi.

"Ketika saya datang sini, cuaca masih hujan. Namun selepas hujan berhenti kira-kira 9 malam, orang ramai mula dilihat memenuhi jalan di sekitar Tasik Titiwangsa.

"Ini adalah kali pertama saya keluar bersama anak-anak selepas dibenarkan oleh kerajaan untuk merentas daerah serta melakukan aktiviti riadah.

"Pada mulanya, anak memaklumkan bahawa dia mahu bermain basikal. Namun, saya tidak membenarkan dan meletakkan syarat terhadap mereka (anak-anak) supaya kekal di kawasan sekitar kenderaan kami memandangkan orang terlalu ramai," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Dia yang juga suri rumah berkata, mereka sekeluarga turut membawa bekalan makanan dari rumah untuk dinikmati ketika berada di tasik berkenaan.

"Ada juga peniaga di kawasan ini, namun saya ambil pendekatan untuk bawa bekalan makanan dari rumah.

"Jumlah pengunjung yang ramai di kawasan ini mungkin disebabkan esok (hari ini) adalah cuti umum," katanya.

Seorang peniaga makanan dan minuman, Jumita Sari Usman, 35, berkata, suasana meriah dengan kehadiran orang ramai di kawasan berkenaan mula dialami sejak 31 Ogos lalu.

"Saya berniaga di sini bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari memandangkan saya ada lesen sah dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Sebelum 31 Ogos, tidak ramai orang datang ke sini. Namun, keadaan itu berubah kini apabila semakin ramai orang datang ke sini terutama pada waktu puncak iaitu antara 5 hingga 6.30 petang dan antara 8 hingga 10 malam," katanya ketika ditemui di Jalan Kuantan berhampiran Tasik Titiwangsa, di sini.

Jumita berkata, ada juga segelintir pengunjung kawasan berkenaan yang dilihat tidak bertanggungjawab apabila membuang sampah merata-rata.

"Ada juga pengunjung yang dilihat membuang sampah merata-rata ketika mereka beridah dan tindakan itu adalah tidak patut.

"Kita patut menjaga kebersihan kawasan ini bagi membolehkan semua pengunjung yang datang boleh beriadah dengan selesa," katanya.

Tinjauan wartawan Harian Metro di sekitar Tasik Titiwangsa, malam tadi, mendapati orang ramai melakukan aktiviti riadah seperti berkelah, berbasikal serta joging di Jalan Kuantan dan Jalan Temerloh, manakala Jalan Tembeling pula ditutup.

Terdapat kehadiran pihak polis di kawasan berkenaan yang melakukan pemantauan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seawal 4 petang.

Anggota polis yang bertugas turut dilihat mengarahkan orang ramai bersurai serta peniaga menutup gerai mereka selepas 10 malam.

Difahamkan aktiviti di dalam Tasik Titiwangsa hanya dibenarkan bagi individu yang lengkap menerima dua dos vaksin bermula antara 6 pagi hingga 7 malam.

Selepas tempoh waktu berkenaan, tasik berkenaan akan ditutup kepada orang ramai.

Pengunjung yang datang selepas jam 7 malam akan berkumpul di sekitar Jalan Kuantan dan Jalan Temerloh untuk melakukan aktiviti riadah.

Disiarkan pada: September 16, 2021 @ 9:47am
d