mutakhir

2 pekerja kelong hilang selepas terjatuh ke laut [METROTV]

Oleh BERNAMA

Shah Alam: Dua lelaki warga asing dilaporkan hilang selepas terjatuh ke laut ketika bekerja di sebuah kelong di sekitar perairan Pulau Tengah, Klang dekat sini, petang semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor Kapten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan pihaknya jam 5.10 petang.

"Mangsa membabitkan warga Indonesia dikenali sebagai Priadi, berusia 34 tahun dan warga Myanmar, Saw Bearry Htoo, berumur 30 tahun. Mereka dikatakan terjatuh jam 4 petang.

"Kedua-dua mangsa dilaporkan tidak memakai jaket keselamatan dan kali terakhir dilihat memakai baju putih dan berseluar biru," katanya pada kenyataan hari ini.

Mohd Rosli berkata, operasi SAR bagi hari kedua yang dikoordinasikan Sub Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru, Johor dimulakan jam 7 pagi tadi.

Ia membabitkan bot Pengawal 26 dan dua luncur jet APMM dibantu bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Polis Marin serta komuniti nelayan setempat.

Beliau turut mengingatkan orang awam supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.

Disiarkan pada: September 17, 2021 @ 1:43pm
d