mutakhir

Tanah runtuh Kemensah Heights: KSM sedia bantu [METROTV]

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menjalankan penelitian sama ada terdapat bantuan tertentu yang boleh disalurkan kepada mangsa terjejas kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights, Ampang, semalam.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, tindakan itu akan dilakukan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk menyemak kemungkinan ada pencarum yang terbabit kejadian itu.

"Saya perlu berbincang dengan pihak berkuasa tempatan dan Perkeso terlebih dahulu untuk mengkaji perkara itu.

"Jika mereka (mangsa terjejas tanah runtuh) mencarum, maka kita akan teliti dan melihat keperluan (bantuan) boleh diberikan," katanya pada sidang media selepas melawat dan menghulurkan Kotak Prihatin Perkeso kepada keluarga mendiang V Vijaya Kumaran, 52, yang meninggal dunia pada Mei lalu.

Beliau mengulas mengenai 28 keluarga dari 19 rumah teres dua tingkat di Kemensah Heights, Ampang yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) susulan kejadian tanah runtuh, malam tadi.

Dalam kejadian 9.33 malam itu, sepasukan bomba yang ke lokasi sejurus menerima panggilan mendapati tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah di kawasan terbabit berkenaan.

Berikutan kejadian itu, kesemua penghuni rumah dipindahkan ke Dewan AU5 bagi memastikan keselamatan mereka sementara pemantauan dan tindakan lanjut dilakukan pihak berkuasa.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: September 18, 2021 @ 2:40pm
d