mutakhir

Pelajar Tingkatan 4, 5 di Terengganu divaksin Selasa depan [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

Kuala Terengganu: Seramai 36,507 pelajar Tingkatan Empat dan Lima di seluruh negeri ini akan mula menerima suntikan vaksin Covid-19 pada Selasa depan.

Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Kasemani Embong berkata, proses vaksinasi semua pelajar itu akan dilakukan di 54 sekolah di seluruh negeri.

Katanya, semua pelajar berusia 16 dan 17 tahun akan menerima suntikan vaksin Pfizer.

"Berdasarkan data jumlah pelajar yang akan menerima vaksinasi, seramai 18,264 adalah pelajar Tingkatan Empat manakala bakinya 18,243 adalah pelajar Tingkatan Lima.

"Jumlah pelajar yang akan menerima suntikan vaksin hanya membabitkan sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk sekolah menengah agama dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)," katanya pada media selepas melakukan tinjauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pasar Kedai Payang, di sini, hari ini.

Turut melakukan tinjauan pematuhan SOP adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Ahmad Shah Muhamed, Datuk Bandar Kuala Terengganu Rozali Salleh dan Pegawai Daerah Kuala Terengganu Ariffin Abdullah.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, program vaksinasi kepada semua pelajar Tingkatan Empat dan Lima dijangka siap sebelum sesi persekolahan bermula pada 3 Oktober depan.

Katanya, Jabatan Kesihatan Terengganu (JKNT) akan memberi keutamaan melakukan suntikan kepada pelajar Tingkatan Empat dan Lima sebagai persediaan mereka menduduki peperiksaan.

Mengenai pelajar Tingkatan Satu dan Tiga, Dr Kasemani berkata, JKNT sedang menunggu kelulusan untuk vaksinasi kumpulan pelajar berkenaan.

Disiarkan pada: September 19, 2021 @ 3:33pm
d