mutakhir

Pembalakan haram: Penguatkuasaan agensi perhutanan ditingkatkan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Kerajaan sudah mengarahkan agensi perhutanan persekutuan dan negeri untuk terus meningkatkan penguatkuasaan aktiviti pembalakan haram seluruh negara.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sehingga 31 Julai lalu, 26 kes membabitkan pembalakan haram dikesan di Semenanjung Malaysia manakala masing-masing 37 kes dan 93 kes di Sabah dan Sarawak.

"Kementerian menjalankan pemantauan aktiviti pembalakan khusus di hutan simpan kekal menerusi pelbagai agensi seperti Jabatan Perhutanan di peringkat Persekutuan dan negeri.

"Kementerian juga sedang membuat perancangan untuk meminda Akta Perhutanan Negara dan Enakmen Hutan di Sabah dan Sarawak untuk mencegah aktiviti pembalakan haram dan kesalahan hutan lain," katanya dalam sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH- Port Dickson).

Dalam soalannya, Anwar meminta sejauh mana pemantauan kementerian terhadap aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan dan apa tindakan diambil untuk kes pelanggaran.

Takiyuddin ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Sabri Azit (Pas-Jerai) memaklumkan kerajaan memperuntukkan RM75 juta untuk proses restorasi semula Hutan Simpan Gunung Jerai yang musnah dalam kejadian kepala air baru-baru ini.

Menurutnya, kerajaan Kedah juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan haram dikesan di kawasan Gunung Jerai yang dikatakan menjadi punca kejadian kepala air.

"Saya sendiri sudah melawat kawasan kejadian dan ada pokok balak yang dihanyutkan bersama dengan akar dan ini bermakna ia bukan disebabkan pembalakan haram.

"Kawasan Gunung Jerai juga sudah digazetkan sebagai Geopark Kebangsaan menjadikan tiada sebarang aktiviti usaha hasil boleh dijalankan," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 11:38am
d