mutakhir

Rezeki buah hutan tampung belanja keluarga

Oleh Roselan Ab Malek

Jerantut: Ketibaan musim buah perah menjadi sumber rezeki baru buat pengusaha kedai makan apabila perniagaannya terjejas apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, tahun lalu.

Buah perah dengan nama saintifiknya 'Elateriospermum Tapis dari keluarga Euphorbiaceae tumbuh liar di kawasan hutan Ulu Tembeling dan gugur sendiri apabila cukup matang.

Mohd Simin Abdullah, 54, dari Felda Kota Gelanggi Dua, dekat sini, berkata musim buah perah menjadi rezeki baru untuknya menampung perbelanjaan keluarga.

Menurutnya, sejak pelaksanaan PKP pada Mac 2020, kedai makannya tidak dapat beroperasi.

"Saya melakukan pelbagai usaha untuk mencari rezeki antaranya menjual sayur-sayuran pada awal tahun dengan bekalan diperolehi daripada pekebun kecil di sekitar kawasan Felda ini.

"Apabila mempunyai modal lebih, saya cuba menjual buah-buahan bermusim seperti durian, rambutan, kundang dan dokong sejak dua bulan lalu dan kini musimnya semakin berakhir.

"Kini saya mula menumpukan jualan buah perah yang banyak tumbuh di hutan sejak awal bulan ini dan ia memberi satu peluang baru mencari rezeki kerana mendapat permintaan tinggi," katanya.

Menurutnya, dia mendapat bekalan dari rakan di Ulu Tembeling dan buah perah akan diproses terlebih dahulu kerana memabukkan jika dimakan secara mentah.

Katanya, buah yang sudah direbus akan direndam dalam air garam selama beberapa hari dan rasanya ranggup serta berlemak seperti kacang sekali gus sesuai dijadikan kudapan.

"Buah perah juga boleh diproses menjadi asam rong dengan dijemur kering sebelum ditumbuk separa lumat.

"Saya turut dibantu isteri Ramlah Ahmad, 54, dan ibu mentua yang membantu merebus, menjeruk dan membungkus buah perah sehingga ia sampai ke tangan pelanggan.

"Memandangkan pandemik belium berakhir, saya perlu berusaha dan tidak mengalah untuk memperoleh pendapatan sebelum kedai makan kembali beroperasi sepenuhnya," katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 4:47pm
d