mutakhir

Penunggang basikal ekori rapat treler dicari...

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Polis meminta kerjasama orang ramai untuk mengesan penunggang basikal yang mengikuti rapat di belakang sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang, di sini, dalam video tular, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Muhammed Rizal Kamarudin berkata, aksi berkenaan membahayakan nyawa dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat mengenai penunggang terbabit.

Menurutnya, keselamatan diri ketika menunggang basikal perlu diutamakan bagi mengelakkan kemalangan dan kejadian tidak diingini berlaku.

"Bagaimanapun, masih ada individu didapati melakukan kesalahan itu seperti video yang tular di media sosial, baru-baru ini.

"Penunggang basikal dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya dan tidak melakukan aksi berbahaya bagi keselamatan diri serta pengguna jalan raya lain.

"Berdasarkan video terbabit, penunggang itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya pada sidang media di Balai Polis Trafik Kuantan, di sini, hari ini.

Menurutnya, ketika ini aktiviti berbasikal dibenarkan pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun tindakan segelintir penunggang basikal melakukan kesalahan jalan raya tidak sepatutnya berlaku.

Terdahulu, satu video tular di media sosial memaparkan aksi berbahaya seorang penunggang basikal yang mengikuti rapat di belakang sebuah treler di Jalan Kuantan-Gambang, di sini.

Video berdurasi dua minit 34 saat itu dikatakan dirakam oleh seorang pemandu lori pada 17 September lalu.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 6:43pm
d