mutakhir

1.5 peratus kes baharu Covid-19 hari ini kategori 3 hingga 5

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Hanya 1.5 peratus atau 212 kes daripada 14,345 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan hari ini adalah daripada kategori tiga, empat dan lima.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bakinya iaitu 14,133 kes atau 98.5 peratus adalah daripada kategori satu dan dua iaitu tidak bergejala dan bergejala ringan.

Daripada jumlah kes positif Covid-19 baharu yang dilaporkan itu, katanya, jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 di negara meningkat kepada 2,112,175 kes.

Menurutnya, sebanyak 14,302 kes adalah penularan tempatan membabitkan 13,072 warganegara dan 1,230 bukan warganegara, manakala 43 kes import membabitkan 27 warganegara selebihnya bukan warganegara.

"Sarawak kekal merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 3,611 kes diikuti Johor (1,598 kes), Selangor (1,365 kes), Sabah (1,255 kes), Pulau Pinang (1,170 kes), Perak (1,090), Kelantan (1,050 kes), Kedah (967 kes) dan Terengganu dengan 804 kes.

"Selain itu, Pahang mencatatkan 779 kes, Kuala Lumpur (307 kes), Melaka (162 kes), Negeri Sembilan (125 kes), Perlis (51 kes), Putrajaya (11 kes) dan Labuan kekal dengan sifar kes seperti semalam (kelmarin)," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 1,167 kes menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) membabitkan 906 kes disahkan positif Covid-19 dan 216 kes lagi adalah suspek, kemungkinan serta dalam siasatan.

Beliau berkata, daripada jumlah terbabit, 636 kes memerlukan bantuan pernafasan dengan 407 kes disahkan Covid-19 sementara 229 kes suspek, kemungkinan serta dalam siasatan.

Menurutnya, sebanyak 16,814 kes sembuh turut direkodkan menjadikan jumlah kes pulih dalam negara kini adalah ialah 1,880,736.

Katanya, sebanyak 23 kluster baharu dikesan hari ini menjadikan keseluruhan 5,305 kluster dengan 1,335 kluster masih aktif.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 8:03pm
d