mutakhir

Awas penunggang e-hailing, anda diperhatikan

Oleh Samadi Ahmad

Putrajaya: Sengaja berlagak berani dengan memecut dan merempuh isyarat lampu merah.

Itu antara tindakan berpuluh penunggang motosikal yang dikesan sengaja melanggar undang-undang jalan raya di pusat pentadbiran kerajaan di sini.

Sikap itu didedahkan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz susulan tindakan pihaknya menahan ramai penunggang motosikal melalui Op Khas Pemandu E-Hailing Bersepadu sejak minggu lalu.

Katanya, sebanyak 30 saman trafik dikeluarkan pihaknya membabitkan tindakan melanggar lampu isyarat merah di pusat pentadbiran negara itu.

"Sepatutnya penunggang motosikal perlu berhenti ketika lampu isyarat merah. Mereka tidak sewajarnya melanggar lampu merah untuk mengejar masa atau demi kepentingan diri sendiri hingga membahayakan nyawa pengguna jalan raya lain.

"Sebanyak enam saman trafik dikenakan terhadap pemandu e-hailing dan selebihnya kepada orang awam membabitkan pelbagai kesalahan.

"Polis turut menahan dua lelaki yang didapati positif dadah syabu manakala seorang lagi positif mengambil ganja," katanya.

Menurutnya, operasi Op Khas Pemandu E-Hailing Bersepadu itu diadakan dengan kerjasama Bahagian Narkotik IPD Putrajaya.

"Operasi ini akan diteruskan dan pemandu e-hailing diberi peringatan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya demi keselamatan diri dan orang lain , "katanya.

Disiarkan pada: September 20, 2021 @ 9:39pm
d