mutakhir

Lelaki hanya fikir mahu tangkap peragut isteri [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: "Ketika bergelut dengan peragut, saya tidak fikir soal keselamatan diri sebaliknya ingin dia ditangkap kerana cuba meragut isteri," kata Mohd Hanif Hilmi.

Akibat pergelutan dalam kejadian samun pada 5.45 pagi kelmarin, Mohd Hanif, 29, terpaksa menerima tujuh jahitan di telinga kiri akibat digigit peragut.

Mengimbas kembali kejadian, Mohd Hanif berkata, dia ternampak suspek yang menunggang motosikal menghampiri isterinya yang baru turun dari bas ekspres sebelum meragut beg tangan wanita itu.

"Saya yang memandu kereta terus mengejar lelaki itu dan melanggar motosikalnya bagi menghalang dia melarikan diri.

"Ketika dia kembali bangun, saya segera menerpa ke arahnya dan memeluk dari belakang bagi mengunci pergerakan selain menekup mulut serta hidungnya.

"Ketika bergelut, lelaki terbabit meronta menyebabkan tangan yang menekup terlepas lalu terus berpaling sebelum menggigit telinga kiri saya dan nasib baik ada dua lagi lelaki lain membantu," katanya.

Mohd Hanif berkata demikian selepas menerima sijil penghargaan daripada Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian di Kampung Binjai, di sini, suspek berusia 29 tahun ditahan selepas cuba meragut seorang wanita yang baru turun dari bas ekspres.

Sementara itu, Shafien berkata, suspek yang kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) kerana patah tangan kanan dan cedera kedua-dua lutut aktif melakukan kegiatan samun dan ragut sejak tujuh tahun lalu.

"Semakan mendapati suspek memiliki 14 rekod jenayah termasuk bersabit kes dan dia direman bermula semalam hingga 26 September ini.

"Saringan ujian air kencing juga mendapati suspek positif methampethamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 2:36pm
d