mutakhir

Muslim Care serah bahan bacaan untuk Penjara Marang

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Marang: Muslim Care Malaysia menyerahkan 1,000 naskhah buku, kitab, novel dan majalah untuk bahan bacaan penghuni di Penjara Marang, hari ini.

Pengerusi Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan berkata, serahan bahan bacaan itu untuk membantu penghuni penjara memanfaatkan masa dengan membaca.

"Di Penjara Marang difahamkan terdapat seramai 2,600 penghuni dan pemberian 1,000 naskhah buku, kitab, novel serta majalah itu diyakini membantu memberi ilmu kepada mereka.

"Selain bahan bacaan, kami juga menyerahkan 25 telekung kepada penghuni wanita di penjara berkenaan.

"Banyak lagi perancangan Muslim Care dalam usaha membantu pihak yang memerlukan," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bahan Bacaan Muslim Care di Penjara Marang, di sini.

Sumbangan itu diserahkan Zulkifli kepada Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman.

Sementara itu, Nik Robidin berkata, pihaknya berterima kasih kepada Muslim Care kerana prihatin terhadap keperluan penghuni di Penjara Marang.

"Memang kami memerlukan bahan bacaan terbaru untuk penghuni kerana bahan bacaan sedia ada sudah lama digunakan. Pemberian ini dapat menceriakan penghuni di Penjara Marang," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 5:02pm
d