mutakhir

Bantuan tunai RM1,000 buat mangsa banjir

Oleh Yun Mikail

Penampang: Kerajaan Sabah bakal menyalurkan bantuan tunai RM1,000 kepada penduduk di daerah ini yang terjejas dalam kejadian banjir, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor berkata, pihaknya bersimpati dengan bencana menimpa penduduk terbabit termasuk di Kampung Sugud yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

"Saya sudah diberikan taklimat oleh Pegawai Daerah dan dengan ini saya mengumumkan kita bakal memberi bantuan kepada penduduk yang terjejas teruk.

"Seramai 937 orang akan diberikan bantuan RM1,000 secara tunai, selain kita juga akan bina semula 10 buah rumah yang dihanyutkan sewaktu bencana alam, baru-baru ini.

"Kerajaan negeri akan bantu membina semula rumah mereka serta peralatan yang diperlukan," katanya ketika ditemui selepas meninjau keadaan terkini Kampung Sugud, dekat sini, hari ini.

Ditanya mengenai usaha kerajaan negeri menangani masalah banjir di Sabah, Hajiji memaklumkan pelbagai usaha sedang dilakukan ketika ini.

"Buat jangka masa pendek, kita sudah mengarahkan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) untuk membersihkan kawasan anak sungai, sungai dan juga longkang.

"Manakala bagi jangka masa panjang, memang kerajaan sedang buat perancangan di mana dua tempat sudah dilaksanakan pembesaran sungai dan sebagainya.

"Tinggal satu pakej lagi akan dilakukan supaya kita tidak lagi mendapat banjir yang begitu teruk dan besar di Penampang pada masa akan datang," katanya.

Disiarkan pada: September 21, 2021 @ 5:52pm
d