mutakhir

Jangan gembira dahulu, Melaka belum 'buka pintu' pada pelancong

Oleh BERNAMA

Melaka: Pembukaan sektor pelancongan di negeri ini akan diputuskan pada pertengahan bulan hadapan berikutan beberapa faktor penting yang perlu diteliti dahulu.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata keputusan itu dibuat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak tercetusnya kluster pelancongan sekali gus menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di Melaka.

Katanya, antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah penyediaan prosedur operasi standard (SOP) khusus bagi sektor berkenaan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kerajaan negeri mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berhubung pembukaan tiga destinasi pelancongan dalam tempoh terdekat ini termasuk Melaka.

"Bagaimanapun, kita tidak akan tergesa-gesa membuka sektor pelancongan negeri ini dalam masa terdekat kerana menunggu SOP khusus daripada MKN," katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di sini, tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya juga sedang memantau perkembangan semasa berkaitan kes Covid-19 di Langkawi, selepas sektor pelancongan pulau itu dibuka menerusi projek rintis Gelembung Pelancongan minggu lalu.

Selain Melaka, dua destinasi lain yang akan dibuka kepada pelancong tempatan bermula 1 Oktober ini ialah Genting Highlands dan Pulau Tioman.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 5:18pm
d