mutakhir

Kerajaan kaji cadangan naikkan had pengeluaran i-Citra

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang memperhalusi dan mengkaji secara menyeluruh cadangan menaikkan had pengeluaran kemudahan i-Citra menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa berkata, pelbagai aspek akan diambil kira termasuk bantuan disalurkan kerajaan kepada rakyat dalam usaha membantu meringankan beban kewangan ahli KWSP terjejas akibat pandemik Covid-19.

"Cadangan YB Pekan (Datuk Seri Najib Razak) menaikkan had pengeluaran i-Citra, kita perlu perhalusi dan kaji secara menyeluruh mengambil kira semua bentuk bantuan yang disalurkan kerajaan kepada rakyat bagi membantu ringankan beban kewangan ahli yang terjejas dalam pandemik ini.

"Pertimbangan terhadap kenaikan had pengeluaran i-Citra perlu turut mengambil kira keperluan untuk mengimbangkan antara keperluan semasa dan kepentingan simpanan persaraan untuk masa hadapan dengan keadaan negara dijangka mengalami penuaan penduduk pada 10 hingga 15 tahun akan datang," katanya pada Sesi Penggulungan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Katanya, pihak kementerian juga mengambil maklum cadangan Najib supaya memperkenalkan program pinjaman sehingga RM4,000 kepada golongan B40 dan M40 sebagai usaha menambah aliran tunai setiap isi rumah memerlukan.

"Suka saya maklumkan kepada YB, bagi tujuan sama kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif antara pemberi bantuan langsung seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) serta bantuan kehilangan pekerjaan dengan jumlah keseluruhan peruntukan bagi 2022 sebanyak RM17.1 bilion.

"Daripada jumlah itu, RM15.1 bilion sudah disalurkan kepada akaun penerima," katanya.

Menurut beliau, bagi golongan peniaga kecil, kerajaan melaksanakan Geran Khas Prihatin (GKP) pada 2021 dengan jumlah peruntukan RM3.6 bilion dan daripada jumlah itu, RM2.6 bilion sudah disalurkan kepada penerima di bawah Bajet 2022 yang akan dibentangkan kelak.

"Kerajaan akan pertimbangkan untuk teruskan inisiatif sedia ada untuk minimumkan beban kewangan ditanggung rakyat yang terkesan akibat Covid-19," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan masih berbincang dengan institusi kewangan mengenai cadangan pengecualian bayaran faedah moratorium selama tiga bulan pada suku tahun keempat.

"Berkenaan usul YB Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kerajaan masih bincang dengan institusi perbankan kerana membabitkan keputusan komersial antara pihak bank, lembaga pengarah dan pemegang saham mereka masing-masing.

"Namun, satu rumusan akan kita usahakan dan mengambil kira kesan masa panjang terhadap peminjam, pendeposit dan pelabur, institusi kewangan dan ekonomi negara.

"Kerajaan juga memahami masalah dihadapi rakyat dan akan pertimbangkan pelbagai cadangan yang dikemukakan," katanya.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 5:39pm
d