mutakhir

Sultan Selangor dukacita, amat kecewa

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dan amat kecewa apabila dimaklumkan hanya 203 daripada 873 orang guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan jurunikah di negeri ini yang hadir semasa sesi program vaksinasi khas Covid-19 Frontliner Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Menerusi satu kenyataan di Facebook Selangor Royal Office hari ini, lebih mendukacitakan baginda ialah apabila seramai 96 daripada 203 orang yang hadir menolak untuk divaksin.

Titah baginda, nama-nama individu yang memutuskan untuk tidak divaksin akan diteliti dan satu ketetapan berhubung tindakan yang akan diambil terhadap mereka bakal ditentukan kelak.

"Apa yang berlaku amat mengecewakan baginda kerana kedegilan individu tertentu ini akan hanya menyusahkan urusan sekalian rakyat jelata terutamanya murid-murid yang akan meneruskan pembelajaran KAFA," kata kenyataan itu.

Baginda bertitah, pelbagai inisiatif sudah dilakukan khususnya daripada gesaan baginda sendiri dengan kerjasama pihak JAIS dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), demi memastikan kesejahteraan seluruh umat Islam di Selangor.

"Ini termasuk memperluas dan mempermudah pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada petugas masjid dan pejabat agama bagi membolehkan umat Islam kembali menunaikan ibadah dan melakukan aktiviti keagamaan seperti biasa," kata kenyataan itu lagi.

Terdahulu, media melaporkan JAIS akan mempersembahkan senarai individu yang enggan menerima vaksin di bawah kelolaan pihaknya kepada Sultan Selangor, Jumaat ini.

Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, ia susulan terdapat kalangan guru KAFA, pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan penolong pendaftar nikah JAIS yang masih enggan menerima vaksin walaupun program khas vaksinasi diwujudkan untuk mereka.

Disiarkan pada: September 22, 2021 @ 6:57pm
d