mutakhir

Kajian kebolehlaksanaan sensor dalam ujian memandu sedang dilaksanakan - Wee

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melaksanakan kajian mengenai kebolehlaksanaan mengaplikasikan teknologi terkini termasuk penggunaan sensor dalam ujian memandu di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ia akan menambah baik proses pembelajaran dan meningkatkan tahap integriti pengujian yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Contoh, kalau seseorang itu mengambil ujian dengan JPJ, kita akan masukkan mereka dalam kenderaan yang bukan sahaja ada video kamera untuk rakaman, malah sensor juga akan diletakkan dalam kenderaan yang sedang jalankan pengujian ini.

"Apabila di litar, semua tiang parkir akan dipasang dengan kamera dan sensor untuk melihat macam mana soal integriti yang dipersoalkan dulu yang kata bila mengambil ujian kita boleh beri rasuah," katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata spekulasi soal integriti dalam ujian memandu juga dapat diselesaikan dengan penggunaan teknologi dan sensor apabila semua maklumat dapat dikawal oleh pusat kawalan.

Wee berkata, keperluan automasi dalam merekodkan elemen pengujian yang boleh dilihat kembali apabila terdapat dakwaan juga boleh diselesaikan dengan bantuan teknologi itu.

Katanya, ia memerlukan analisis data besar, penggunaan sensor yang canggih termasuk penggunaan 'Internet of things (IoT)'.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Zakaria Mohd Edris (Bersatu-Libaran) yang meminta penjelasan MOT mengenai usaha memperkasakan penggunaan teknologi internet atau kecerdasan buatan (AI) dalam Industri Latihan Pemanduan (ILP).

Mengenai perlanjutan Lesen Belajar Memandu (LDL) yang tamat tempoh melebihi dua tahun bermula 13 Januari lalu sehingga 30 Jun 2022, Wee berkata ia membantu anggaran 462,000 calon yang tidak dapat mengikuti proses mendapatkan lesen dan menduduki ujian memandu akibat penutupan pengoperasian institut memandu berikutan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, perlanjutan tempoh itu juga akan membolehkan institusi memandu mengaturkan ujian untuk semua calon dengan pihak JPJ dan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 2:38pm
d