mutakhir

Pegawai kanan SPRM ditahan polis berkait kehilangan wang, senjata api, peluru, dadah

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) disahkan ditahan polis kelmarin kerana disyaki terbabit dengan kes kehilangan wang bernilai 6 juta dolar Amerika Syarikat (kira-kira RM25 juta).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, tangkapan juga dibuat bagi kesalahan memiliki senjata api, peluru serta dadah.

Menurutnya, dua kertas siasatan kini sudah dibuka mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 serta Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abd Jalil sebelum ini dilaporkan berkata, polis akan memanggil tiga pegawai kanan SPRM yang sebelum ini direman enam hari oleh suruhanjaya itu bagi melengkapkan siasatan berhubung kehilangan wang terbabit.

Polis juga akan memanggil pemilik wang berkenaan, bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Terdahulu, tular laporan mendakwa tiga pegawai kanan SPRM direman enam hari bermula 14 September lalu bagi membantu siasatan berhubung kecurian wang tunai milik seorang individu yang disiasat kerana menyalah gunakan kuasa dan penyelewengan dana pada 2018.

Wang tunai itu didakwa dirampas oleh SPRM di sebuah kondominium di Cyberjaya.

Pada Isnin, SPRM mengesahkan tiga pegawai kanannya direman selama enam hari bagi membantu siasatan terbabit dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan.

Disiarkan pada: September 23, 2021 @ 8:58pm
d