mutakhir

Maryam harumkan nama Malaysia, raih 3 pingat emas [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist di sini, Maryam Muzamir mengharumkan nama negara selepas meraih tiga pingat emas sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) di Toronto, Kanada, bulan lalu.

Maryam beroleh kejayaan itu selepas mencipta inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut yang dinamakan YAM 2.0.

Murid berusia 11 tahun itu teruja dan terkejut apabila dimaklumkan meraih tiga pingat emas hasil daripada inovasi berkenaan.

"Saya gembira kerana kejayaan ini menaikkan semangat dan terima kasih kepada keluarga yang memberikan sokongan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, bapa Maryam, Prof Madya Dr Muzamir Hasan berkata, kejayaan Maryam itu pada awalnya sukar dijangkakan kerana turut disertai pelbagai peringkat usia dari 70 negara.

Bagaimanapun, beliau tetap menghantar penyertaan kerana yakin dengan inovasi yang dihasilkan anak sulungnya itu.

"Alhamdulillah, Maryam berjaya bukan meraih satu emas, malah tiga emas pada penyertaan pertamanya di luar negara.

"Pada tahun ini dan 2020, Maryam memenangi pingat emas bagi kategori Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX).

"Sebenarnya idea menghasilkan makanan haiwan ini kerana sering mengunjungi restoran makanan laut di sini.

"Daripada kulit udang atau siput sedut itu dibuang, sebaiknya ia dikitar semula dan dijadikan bahan makanan haiwan. Oleh itu terhasil makanan haiwan yang dinamakan YAM 2.0 ini," katanya yang tinggal di Indera Mahkota.

Disiarkan pada: September 25, 2021 @ 8:38pm
d