mutakhir

Sajat perlu akur dicipta Allah sebagai lelaki - Mufti

Oleh Skuad Khas Harian Metro

Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman seharusnya insaf dan mengakui dia tersalah memilih gaya hidup yang menyimpang daripada syariat Allah SWT.

Mufti Pulau Pinang Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, apa yang perlu dilakukan Nur Sajat ketika ini ialah menyerah diri kepada pihak berkuasa, menjalani proses undang-undang dan menikmati hidup secara normal.

Katanya, dilihat daripada perspektif Islam, tiada manusia yang bersih daripada dosa dan tidak melakukan kesalahan kecuali rasul dan nabi.

Beliau berkata, Allah SWT mengetahui manusia adalah makhluk yang lemah dan sentiasa terdedah kepada dosa.

"Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang sentiasa membuka pintu taubat kepada hamba-Nya yang ingin membersihkan diri dan kembali ke jalan yang diredai-Nya.

"Cuma bezanya, ada manusia yang cepat insaf, lantas kembali ke pangkal jalan selepas menyedari yang dirinya tersasar daripada syariat yang ditetapkan di dalam agama.

"Sebaliknya ada pula yang berdegil dan terus berlarutan di dalam dosa dan maksiat," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau mengulas laporan Harian Metro mengenai Nur Sajat sedang dibantu negara tertentu dan pertubuhan antarabangsa termasuk UNHCR di Bangkok dan Malaysia untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

Beliau berkata, Nur Sajat memilih untuk terus berada di dalam khayalan dan kepura-puraan, sewajarnya akur dengan ketetapan Ilahi yang mencipta dirinya sebagai seorang lelaki.

"Masalah jantina bukan pilihan kita tetapi ketetapan Sang Pencipta yang maha mengetahui dan bijaksana.

"Jadi setiap manusia hendaklah akur dan menerima apa yang ditetapkan Tuhan untuk diri masing-masing.

"Bertindak berlawanan dengan hukum syariat dan tabii hanya akan membinasakan diri sendiri," katanya.

Menurutnya, dari sudut lain, usahawan itu juga tidak akan menghadapi kesusahan seperti yang dialaminya sekarang malah tidak perlu mengeluarkan belanja banyak jika menyerahkan dirinya kepada pihak berkuasa sejak awal.

Wan Salim berkata, ramai lagi lelaki yang memilih untuk berwatak dan berlagak ala wanita di negara ini, tetapi tidak menghadapi masalah seperti yang dihadapi oleh Nur Sajat.

"Jika dia menyerah diri kepada pihak berkuasa, dia hanya perlu membayar denda yang tidak seberapa dan mungkin perlu mengikuti kaunseling yang boleh memberi manfaat kepada dirinya untuk insaf dan kembali ke pangkal jalan sebagai individu normal.

"Pada pandangan saya golongan agamawan termasuk pihak berkuasa agama Islam tidak memandang hina kepadanya dan golongan sepertinya. Sebaliknya kita bersimpati dengan mereka ini dan cuba membantu membimbing serta menasihatkan mereka sebaik mungkin.

"Mungkin mereka sukar menerima nasihat kerana sudah terbiasa berada di jalan yang salah, namun inilah kewajipan kita untuk membantu sesama Islam.

"Pengalaman mengajar kita bahawa sekeras mana hati seseorang itu, namun jika selalu dinasihati secara jujur, dengan izin Allah SWT, hati yang keras tidak mustahil akan kembali lunak dan bersedia menerima nasihat demi kebaikan diri sendiri," katanya.

Disiarkan pada: September 26, 2021 @ 4:16pm
d