mutakhir

Calon STPM di Kedah dibenarkan bersekolah mulai 10 Oktober ini

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi kebenaran khas kepada semua pelajar semester dua tingkatan enam di Kedah untuk kembali bersekolah mulai 10 Oktober ini.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata, langkah itu dibuat bagi membolehkan pelajar terbabit bersemuka bersama guru berikutan mereka dijadual memulakan peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada akhir Oktober ini.

"Kita membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya diberi kebenaran khas kepada kumpulan pelajar ini untuk kembali bersekolah dan (permohonan itu) diluluskan.

"Tempohnya pendek kerana mereka masuk semula ke sekolah pada 10 Oktober dan dijadual menduduki peperiksaan pada akhir bulan itu," katanya pada sidang media selepas meninjau persiapan pembukaan semula sekolah di Kolej Vokasional Langkawi di sini, hari ini.

Radzi berkata, kebenaran khas itu perlu dipohon KPM kerana semua negeri lain sudah berpindah ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) kecuali Kedah yang masih kekal di fasa satu.

Sementara itu, beliau memaklumkan jumlah guru yang enggan menerima vaksin Covid-19 menurun kepada 2,000 orang berbanding 2,500 sebelum ini.

"Cuma kita mengesan ada kes di sekolah tertentu semua guru yang mengajar satu subjek yang sama tidak mahu divaksin dan ada pula guru yang satu-satunya mengajar subjek berkenaan turut enggan divaksin.

"Kalau ini berlaku, pastinya akan menjejaskan pengajaran dan pembelajaran (P&P) kepada pelajar di sesebuah sekolah, jadi demi kepentingan pendidikan kita perlu ambil tindakan," katanya.

Beliau berkata, ketika ini kementerian sedang meneliti dan melihat cara terbaik untuk penyelesaian termasuk menukarkan guru terbabit ke kawasan yang lebih sesuai.

"Ini mungkin membabitkan pertukaran antara negeri supaya mereka ini tidak berinteraksi secara langsung dengan pelajar tapi tidak menjejaskan proses P&P.

"Jumlahnya kecil tapi apabila diselidiki mendalam di setiap sekolah, kita dapati ia tidak boleh dibiarkan berlarutan dan tindakan segera perlu diambil," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama KPM juga sedang menunggu keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung pendekatan yang wajar diambil terhadap kumpulan guru terbabit dari sudut perkhidmatan awam.

Disiarkan pada: September 26, 2021 @ 7:43pm
d