mutakhir

5 ditahan kerana simbah cat merah, ugutan jenayah

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Lima individu yang disyaki melakukan ugutan jenayah termasuk menyimbah cat merah pada kenderaan serta rumah ditahan dalam enam serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Melaka pada 23 September lalu hingga kelmarin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, serbuan itu dilakukan susulan laporan polis yang diterima pada 20 September lalu daripada seorang pengadu yang mendakwa kereta miliknya disimbah cat merah dan dilekatkan nota ugutan jenayah di pintu rumahnya.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan itu adalah warga tempatan berusia 18 hingga 39 tahun yang aktif di beberapa kawasan sekitar Johor Bahru dan Pontian.

"Hasil siasatan juga mendapati kesemua suspek menerima upah daripada seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali sebanyak RM400 sehingga RM650 bagi setiap satu pekerjaan yang dilakukan.

"Kesemua suspek hanya berhubung mengenai tugasan mereka menggunakan aplikasi WhatsApp.

"Hasil pemeriksaan lanjut di enam lokasi serbuan, polis merampas tujuh telefon bimbit, enam helai kertas catatan berbaur ugutan dan sebatang pen marker.

"Dua daripadanya mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dadah," katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut Raub, hasil ujian saringan awal air kencing kelima-lima suspek mendapati seorang daripadanya positif dadah jenis methampethamine.

Katanya, suspek berusia 39 tahun itu ditahan mengikut Sekyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kesemua suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah antara tiga hingga empat hari.

"Kesemua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan," katanya

Disiarkan pada: September 26, 2021 @ 8:50pm
d