mutakhir

Kereta disimbah cat angkara hutang anak jiran

Oleh Melvin Joni

Padawan: Angkara hutang anak jiran, seorang lelaki turut menjadi mangsa gangguan along apabila keretanya disimbah cat semalam.

Kejadian disedari 5.05 pagi ketika isteri mangsa hendak ke tempat kerja dan mendapati Perodua Viva yang diletakkan di hadapan rumah di Taman Banjaran Serapi Jalan Sungai Tengah disimbah cat di bahagian bonet dan tayar depan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, mangsa juga mendapati terdapat satu notis yang ditinggalkan di hadapan pintu pagar rumahnya yang menyatakan supaya membayar hutang.

"Hasil semakan oleh mangsa mendapati nama yang ditulis dalam notis berkenaan adalah anak kepada jirannya.

"Tempat kejadian tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi bebas yang melihat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aidil berkata, mangsa telah dimaklumkan oleh jiran bahawa anak perempuannya berhutang dengan along melalui Facebook sebanyak RM300.

Katanya, hasil semakan lanjut, anak jiran mangsa itu juga sudah membuat laporan polis pada 13 September lalu kerana cermin rumah dipecahkan dan disimbah cat merah manakala pagar rumah dikunci.

"Kejadian dipercayai dilakukan oleh along kerana jiran mangsa pernah membuat pinjaman wang sebanyak RM300 namun tidak lagi mampu membuat bayaran kerana diminta membayar sehingga RM8,600," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: September 27, 2021 @ 10:58am
d