mutakhir

Tiada kebocoran data dalam JPN - Hamzah

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengesahkan tiada sebarang kebocoran maklumat dalam pangkalan data peribadi MyIdentiti, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, ini kerana sistem kawalan keselamatan data 'FireWall' adalah sangat kukuh dan kesemua maklumat adalah dilindungi.

"Kementerian saya sentiasa memastikan keselamatan dan integriti data rakyat Malaysia yang berada di bawah jagaan JPN adalah terjamin.

"Jadi jangan bimbang mengenai data yang dipegang oleh JPN, kementerian saya akan memastikan semua agensi selepas ini yang menggunakan data MyIdentiti daripada JPN segera mengambil langkah yang ketat," katanya dalam sidang media khas penyerahan watikah pelantikan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai perkembangan isu penjualan data maklumat rakyat Malaysia yang tular di sebuah forum baru-baru ini.

"JPN segera mengambil langkah keselamatan yang tinggi dan sentiasa mematuhi polisi penggunaan sistem myIDENTITY bagi mengelakkan kebocoran data daripada dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Hamzah berkata, pada Isnin lalu, JPN mengesan satu hantaran di sebuah forum dalam talian memaparkan dakwaan wujudnya penjualan data rakyat Malaysia yang diperoleh daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melalui perkongsian myIDENTITY milik JPN.

"Data itu didakwa berjumlah empat juta yang mengandungi maklumat rakyat Malaysia kelahiran 1979 hingga 1998 dan ia ditawarkan untuk jualan dengan harga 0.2 BTC (Bitcoin-Matawang Digital) yang bersamaan dengan RM35,495.

"Oleh yang demikian, JPN telah melaporkan perkara ini kepada pihak LHDN supaya membuat siasatan sama ada kebocoran data tersebut berlaku di agensi berkenaan," katanya.

Beliau berkata, satu laporan polis juga telah dibuat oleh JPN pada Isnin lepas dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) semalam bagi membolehkan siasatan segera dijalankan.

"Semalam, satu perbincangan bersama Pusat Penyelarasan Siber Negara (NC4) Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan LHDN juga telah diadakan antaranya menyentuh isu serta kaedah perkongsian myIDENTITY dengan pihak LHDN serta kawalan keselamatan terhadap data berkaitan," katanya.

Hamzah berkata, JPN hanya berkongsi perkhidmatan myIDENTITY dengan beberapa agensi kerajaan bagi tujuan semakan dan pengesahan identiti warga Malaysia serta pemastautin tetap yang berurusan dengan agensi masing-masing.

"Selain itu, JPN juga mengesahkan tiada sebarang kes seperti demikian yang pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Semalam, LHDN dalam kenyataan menafikan laporan sebuah perbincangan digital mendakwa empat juta data yang bocor diperoleh daripada laman sesawang agensi itu melalui Application Programming Interfaces (API) yang dibuat untuk myIDENTITY di bawah seliaan JPN.

Menurut kenyataan itu, LHDN hanya pengguna dan bukannya pemilik kepada sistem myIDENTITY berkenaan.

Disiarkan pada: September 29, 2021 @ 4:18pm
d