mutakhir

Lebih 400,000 kanak-kanak berusia bawah 18 tahun dijangkiti Covid-19 tahun ini

Oleh Amir Abd Hamid dan Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati penularan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun menyaksikan trend peningkatan mendadak tahun ini berbanding sepanjang tahun lalu.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, tahun lalu kes babit golongan bawah 18 tahun sekitar 12,000 kes tetapi pada tahun ini, ia meningkat kepada lebih 400,000.

Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak 252,569 adalah membabitkan murid dan 42,831 kes adalah kanak-kanak pra-sekolah.

"Lebih membimbangkan, sebanyak 67 kes kematian dicatatkan. Kita ketika ini sedang menghadapi pandemik Covid-19 dan dijangka akan hidup bersama virus ini untuk suatu tempoh masa yang panjang.

"Risiko Covid-19 ini bukan sahaja kepada golongan dewasa malah juga kepada anak-anak kita.

"Dalam hal ini, tanggungjawab kita bersama untuk terus memastikan anak-anak kita terhindar daripada Covid-19 dengan memastikan persekitaran yang selamat buat mereka termasuklah mengambil langkah pencegahan dan perlindungan yang sewajarnya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tama ketika merasmikan sesi webinar dan Facebook (FB) live 'Hidup Bersama Virus Covid-19: Kanak-kanak dan Remaja yang disiarkan menerusi FB KKM, hari ini.

Khairy berkata, kerajaan juga sudah memulakan suntikan vaksin kepada golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun sebagai suatu ikhtiar untuk melindungi mereka.

"Ketika ini, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta sasaran vaksinasi remaja sudah menerima dos pertama mereka.

"Namun begitu, walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk Covid-19, tetapi ia masih belum cukup.

"Pembudayaan amalan normal baharu masih perlu terus dipraktikkan bagi memastikan kita dan anak-anak dapat menjauhkan diri daripada risiko jangkitan," katanya.

Khairy berkata, antara langkah diamal dan diterapkan kepada anak-anak termasuk memakai pelitup muka sepanjang masa, membasuh tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan, mengamalkan penjarakan fizikal, amal etika batuk dan bersin dengan betul, tidak hadir ke sekolah jika bergejala atau mempunyai kontak positif Covid-19, memastikan pengudaraan yang baik di sekolah, melaksanakan disinfeksi di sekolah dan melakukan saringan di pintu masuk sekolah.

Katanya, usaha itu juga adalah satu persiapan dan persediaan warga sekolah serta ibu bapa untuk anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

"Apa yang penting kita perlu pastikan anak-anak boleh beradaptasi dengan situasi ini dengan memberikan sokongan dan galakkan kepada mereka untuk patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan tidak kira sama ada mereka sudah divaksin atau tidak.

"Di samping itu, pastikan juga anak-anak membudayakan cara hidup sihat dengan mempraktikkan hidup aktif, makan secara sihat dan selamat, memupuk minda yang sihat dan menjauhi amalan merokok.

"Sesi webinar ini adalah platform yang baik dalam kita memperkasakan agensi, badan bukan kerajaan (NGO), barisan pendidik, ibu bapa dan masyarakat dalam persediaan hidup bersama-sama virus Covid-19," katanya.

Beliau berkata, kesihatan rakyat bergantung kepada kerjasama penuh semua pihak sebab dalam berhadapan dengan Covid-19, tiada seorang pun yang selamat daripada jangkitan, sehingga setiap orang selamat (no one is safe until everyone is safe).

"Besar sungguh hasrat saya, sekiranya semua pihak, termasuk warga institusi pendidikan dan ibu bapa dapat memberikan kerjasama dengan memainkan peranan dan tanggungjawab dalam menggarapkan amalan norma baharu dan memastikan persekitaran hidup yang selamat dalam kita berhadapan dengan cabaran Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 10:44am
    d