mutakhir

Suami boleh teman isteri bersalin mulai 4 Oktober ini

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan suami atau ahli keluarga terdekat untuk menemani ibu hamil semasa bersalin bermula 4 Oktober ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan suasana pandemik negara yang mula menunjukkan tanda-tanda positif dan peningkatan kadar vaksinasi.

Menurutnya, suami atau ahli keluarga terdekat perlu menerima dos vaksin lengkap Covid-19 dan mereka perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 (RT-PCR atau RTK-Ag) di mana-mana fasiliti kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 72 jam.

"Sukacita dimaklumkan KKM membenarkan suami atau ahli keluarga terdekat keluarga terdekat untuk menemani ibu hamil semasa bersalin dengan mematuhi kriteria yang ditetapkan. Mereka perlu menjalani ujian pengesahan Covid-19 dan membawanya bagi menemani ibu hamil di wad bersalin.

"Suami atau ahli keluarga terdekat itu juga perlu mengehadkan pergerakan mereka selepas menjalani ujian saringan itu.

"Suami atau ahli keluarga terdekat juga boleh membeli Kit Ujian Kendiri Covid-19 yang mendapat kelulusan dari Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan membawanya ke hospital bagi menjalani ujian pengesanan kendiri Covid-19 di tempat saringan yang disediakan di hospital dengan dipantau dan disahkan oleh anggota kesihatan yang bertugas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, suami dan ahli keluarga terdekat yang menemani ibu hamil ini juga diingatkan untuk sentiasa mengamalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

"Ini kerana mereka adalah golongan berisiko tinggi yang perlu sentiasa dilindungi.

"KKM berharap masyarakat terutama ibu hamil serta suami dan keluarga dapat mengambil manfaat daripada kemudahan yang telah diberikan

ini," katanya.

Beliau berkata, surat arahan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) bertarikh 28 September lalu mengenai pelaksanaan inisiatif ini sudah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri untuk pelaksanaan mulai 4 Oktober ini.

"Ini bagi memberi ruang kepada pihak hospital untuk menjalankan persediaan yang diperlukan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: September 30, 2021 @ 7:02pm
    d