mutakhir

Remaja lemah lepas ambil vaksin: Ada dua kes berasingan di PPV Integrasi Encore

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) menjelaskan terdapat kekeliruan maklumat mengenai kejadian tular membabitkan remaja lelaki yang hampir pengsan selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Encore, Klebang, di sini, semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Rusdi Abd Rahman berkata, kekeliruan itu disebabkan terdapat dua kejadian hampir sama berlaku di PPV berkenaan semalam.

Beliau berkata, kes pertama membabitkan remaja lelaki berusia 13 tahun yang tular manakala kejadian kedua pula berlaku ke atas murid sekolah rendah berusia 12 tahun.

"Remaja lelaki itu yang mempunyai janji temu menerima suntikan pada jam 12.01 tengah hari sebelum selesai pemerhatian pada 12.20 tengah hari.

"Semasa proses vaksinasi, remaja ini sangat gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan yang dilihat sejurus selepas vaksinasi atau sepanjang tempoh pemerhatian," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, namun selepas selesai pemerhatian dan dalam perjalanan ke kawasan parkir remaja ini secara tiba-tiba lemah serta rebah sehingga perlu dipapah keluarganya masuk semula ke PPV bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

"Pemeriksaan pegawai perubatan bertugas mendapati keadaan remaja ini stabil dengan tekanan darah, nadi dan paras oksigen dalam darah (vital signs) adalah normal.

"Malah pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan menunjukkan keadaan stabil serta dibenarkan pulang dan panggilan telefon susulan kepada keluarga mendapati remaja ini sihat serta aktif seperti sedia kala," katanya.

Rusdi berkata, siasatan lanjut mendapati remaja terbabit tidur awal sebelum hari kejadian dan mengambil sarapan pagi selain tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan atau alahan sebelum ini.

"Kejadian berlaku disebabkan remaja berkenaan terlalu gementar dan menyebabkan beliau mengalami "vasovagal attack" (pengsan)," katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, bagi kes yang membabitkan murid sekolah rendah pula, dia turut dilihat gementar tetapi tiada sebarang kesan sampingan sepanjang proses vaksinasi dan tempoh pemerhatian.

"Remaja ini hadir ke PPV secara walk-in bersama keluarga dan menerima suntikan pada jam 12.49 tengah hari bagaimanapun ketika keluar dari PPV dia mengadu sakit kepala dan kemudian lemah sebelum dibawa masuk semula.

"Pemeriksaan mendapati keadaan remaja ini juga stabil dengan 'vital signs' yang normal dan pemerhatian 30 minit oleh pasukan perubatan mendapati remaja berkenaan menunjukkan keadaan stabil sebelum dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan lanjut mendapati, remaja kedua ini tidur lewat iaitu pada jam 2 pagi selain tidak berselera makan dan hanya makan sesudu nasi lemak pada pagi itu.

"Remaja ini juga tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan, tidak pernah dimasukkan ke hospital atau mempunyai sebarang sejarah alahan sebelum ini.

"Kejadian disahkan berlaku disebabkan gementar, kurang tidur dan tidak mengambil sarapan sebelum vaksinasi," katanya.

Berita berkaitan

Remaja hampir pitam sebab tak sarapan

Disiarkan pada: October 1, 2021 @ 11:51am
d