mutakhir

Sumbat 1.1 tan beras seludup dalam Proton Iswara

Oleh Siti Rohana Idris

Tumpat: Sebuah kereta sarat dengan 1.1 tan beras seludup ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Pisau Raut di sini, semalam selepas dikejar pihak berkuasa.

Dalam kejadian pada jam 4.30 petang itu, sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) terserempak dengan kereta Proton Iswara itu yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Medan, Superintendan Azhari Nusi berkata, anggotanya menahan kereta terbabit untuk pemeriksaan namun pemandunya melarikan diri ke kawasan semak berhampiran dan menghilangkan diri.

"Pemeriksaan dalam kereta itu menemukan 48 kampit beras dari Thailand yang diseludup masuk menerusi pangkalan haram di sekitar sini," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Azhari berkata, beras yang dirampas dianggarkan bernilai RM4,700 dan dipercayai untuk dihantar ke pasar dan kedai runcit sekitar Pengkalan Kubor di sini.

Menurutnya, beras itu baru sahaja diseludup daripada pangkalan haram dan mungkin menunggu masa yang tepat untuk membawa keluar beras terbabit.

"Semua rampasan termasuk kenderaan dibawa ke Kompeni Taktikal Kuala Jambu untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2021 @ 1:16pm
d