mutakhir

Cemas anak tercekik duit syiling 10 sen

Oleh Amirul Aiman

Hulu Selangor: Pasangan suami isteri berdepan saat mencemaskan apabila anak bongsu mereka yang berusia dua tahun tercekik duit syiling 10 sen dalam kejadian Jumaat lalu.

Nor Aidatul Azua Baharudin, 37, berkata kejadian berlaku pada 8.30 malam ketika dia sedang menunaikan solat manakala anaknya, Muhamad Afeef Dayyan, 2, bersama suami, Muhamad Rapi Mat Ramly, 37, berada di dapur untuk menikmati makan malam.

Turut berada di tempat sama adalah dua lagi anak mereka iaitu Muhamad Denish Irfan, 12 dan Muhamad Aqil Ziqri, 6.

"Waktu itu, Ayyan (Muhamad Afeef Dayyan) sudah selesai makan nasi jadi suami turunkannya dari kerusi kanak-kanak. Kemudian, mereka (suami dan dua lagi anak) pula makan di meja.

"Semasa mereka makan, Ayyan bermain dan suami seperti perasan dia ada ambil duit syiling dekat mesin basuh. Bagaimanapun, tidak perasan pula bila Ayyan masukkannya ke dalam mulut.

"Suami dengar suara Ayyan seakan tercekik dan segera bergegas ke arahnya. Apabila tengok dalam mulut, didapati duit syiling itu tiada," katanya.

Kata Nor Aidatul, suaminya bertindak menepuk belakang Ayyan beberapa kali dengan harapan syiling itu keluar.

"Suami juga cuba menjolok tekak Ayyan namun kedua-dua cara itu tidak berhasil.

"Apabila ditanya, Ayyan hanya mengangakan mulut sambil menunjukkan ia sudah memasuki (mulut)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mereka kemudian bergegas ke Hospital Kuala Kubu Bharu (KKB) untuk melakukan pemeriksaan terhadap Muhamad Afeef Dayyan.

"Doktor memaklumkan duit syiling itu berada dalam perut Ayyan selepas pemeriksaan X-ray dilakukan. Jadi, mereka memberi tempoh tiga hari untuk pastikan ia keluar semasa Ayyan membuang air besar.

"Pagi semalam, Ayyan buang air besar tetapi duit syiling itu tidak mahu keluar. Hari ini, dia sekali lagi menjalani pemeriksaan X-ray dan dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mendapati syiling berkenaan masih kekal di tempat sama," katanya yang menetap di Bukit Beruntung.

Menurut Nor Aidatul Azua, walaupun masih terkejut dengan kejadian itu, dia sekeluarga reda dan berdoa kepada Allah SWT supaya syiling itu dapat keluar.

"Ketika ini, Ayyan masih aktif bergerak walaupun kedudukan duit syiling itu masih berada di tempat sama (perut).

"Selalunya, kalau saya mengemas rumah dan ternampak benda asing termasuk duit syiling, saya segera kutip dan simpan. Tetapi, tak sangka Ayyan boleh terjumpa syiling itu," katanya.

Pada masa sama, Nor Aidatul Azua turut mengingatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak khususnya anak kecil.

"Umur mereka ini memang suka mengutip (benda asing) dan memasukkannya ke dalam mulut. Oleh itu, simpanlah benda ini di tempat yang selamat.

"Segeralah bawa ke hospital. Bimbang benda asing itu akan memudaratkan dirinya," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2021 @ 4:48pm
d