mutakhir

'Saya tiada masalah, sengketa dengan 4 Adun itu'

Oleh Amir Mamat

Masjid Tanah: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali nyata kecewa dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) yang beralih arah menyokong Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan kerajaan negeri.

Beliau berkata, ini kerana tindakan terbabit memusnahkan usaha dilakukan secara bersama sebelum ini dalam membendung penularan wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi negeri.

"Sudah pasti (kecewa), dalam keadaan yang agak sukar ketika ini, masing-masing berusaha memulihkan ekonomi dan kesihatan, mereka lakukan kerja sama, akhirnya mereka runtuhkan semula.

"Kita baru beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), tujuan kita nak bekerjasama bagi memulihkan ekonomi dan kesihatan, (tetapi) mereka sendiri yang merobeknya," katanya pada sidang media di Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Sulaiman menegaskan tidak mempunyai sebarang masalah dan persengketaan dengan empat terbabit yang hilang kepercayaan terhadap kepemimpinannya.

Beliau berkata, tiga daripada mereka yang juga Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (Exco) tidak pernah menyuarakan sebarang bantahan atau provokasi pada setiap sesi mesyuarat.

"Mengenai empat Adun yang hilang kepercayaan kepada saya itu, hubungan saya dengan mereka amat baik. Apa yang diminta, apa yang dipohon, saya laksanakan sebaik mungkin.

"Apabila mengatakan kerajaan sekarang ini sebaliknya, maka tak tahu apa hendak cakap. Selama ini (dalam) mesyuarat, apa yang diperlukan saya sentiasa bantu dan saya berikan kerjasama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di sini, hari ini.

Empat Adun yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan negeri itu adalah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Ketika diminta mengulas dakwaan wujud campur tangan lain dalam setiap keputusan membabitkan pentadbiran kerajaan negeri, Sulaiman yang juga Adun Lendu menafikan perkara berkenaan.

Beliau berkata, setiap isu berbangkit diputuskan dalam mesyuarat Exco adalah keputusan sebulat suara semua ahli termasuk tiga daripada empat Adun terbabit.

"Tidak, keputusan mesyuarat Exco keputusan bersama dan tidak ada campur tangan luar. 'No such thing'.

"Sudah pasti dalam keadaan sekarang agak sukar kerana seperti semua tahu kita berusaha memulihkan kerajaan ini terutama ekonomi dan kesihatan.

"Mereka buat kerja sama tetapi akhirnya meruntuhkannya dalam pada kita baru memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN)," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2021 @ 7:40pm
d