mutakhir

Hilang kepercayaan kerana krisis dalaman

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Krisis dalaman menjadi punca kepimpinan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali tiba di penghujung apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan mereka hilang kepercayaan.

Penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, hal itu diakui sendiri oleh ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron apabila dalam kenyataannya mengatakan tidak boleh ada dua singa atas satu bukit.

"Isu yang berlaku di Melaka ini sepatutnya diselesaikan oleh kepimpinan parti melalui rundingan, pujukan atau tindakan disiplin.

"Cuma yang berlaku ini menunjukkan krisis dalaman UMNO yang akhirnya membawa kepada pertukaran," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, situasi ini dilihat tidak berapa sesuai berlaku dengan mengambil kira faktor negara berdepan dengan Covid-19 selain keadaan ekonomi.

"Sudah tentu rakyat tidak suka akan hal ini kerana mereka mahu lihat 'Yang Berhormat' memberi fokus yang lebih kepada usaha meningkatkan ekonomi dan peluang pekerjaan serta selesaikan masalah Covid-19.

"Ditambah dengan Memorandum Persefahaman (MOU) diperingkat persekutuan maka rakyat jangka tidak ada lagi aktiviti 'lompat' ini," katanya.

Menurut Mujibu, apa yang perlu difahamkan oleh rakyat adalah MOU itu sendiri iaitu antara kerajaan dengan PH bukannya Barisan Nasional (BN)- UMNO bersama PH.

"Jadinya ia tidak ada perdamaian antara mereka. Jadi lompat ini memang isu peribadi dan parti bukannya isu kepentingan rakyat.

"Walaupun tidak berpuas hati dengan keadaan itu, kita (rakyat) wajib hormat dan terima keputusan disebabkan demokrasi yang menekankan politik angka dan itulah peraturan permainannya," katanya.

Disiarkan pada: October 4, 2021 @ 10:22pm
d