mutakhir

Kemelut politik Melaka, ramai bimbang PRN [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Putrajaya: "IG (Instagram) saya dihujani dengan pelbagai pandangan. Ramai yang bimbang, takut kalau ada PRN seperti Sabah dulu," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kebimbangan berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka susulan kemelut politik di negeri itu.

Beliau berkata, ramai menyatakan kebimbangan berlaku semula peningkatan kes Covid-19 seperti yang terjadi selepas PRN Sabah.

"Itulah saya faham, saya pun dengar, saya pun dapat (aduan kebimbangan rakyat berlakunya PRN Melaka).

"Sabah dulu kes (jangkitan Covid-19) sudah menurun begitu rendah. Tetapi disebabkan PRN Sabah, akhirnya (kes) meningkat semula dan ramai yang bimbang (ia berulang)," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2021 di Perkarangan Laman Kompleks Perbadanan Putrajaya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Timbalannya Datuk Mastura Mohd Yazid; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno berkata, untuk isu Melaka, parti serahkan kepada kerajaan Melaka.

"Saya serahkan kepada Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) untuk menyelesaikan isu ini.

"Saya difahamkan Presiden Umno pun sudah berbincang dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh). Jadi kita serahkan kepada Presiden Umno dan biar Melaka menyelesaikan isu ini," katanya.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, jika diadakan PRN Melaka sekali pun, beliau percaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk memastikan kawalan dapat dibuat.

Beliau juga percaya perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan dibuat kelak.

"Tetapi setakat ini masih terlalu awal, kita pun tak tahu apa yang akan berlaku.

"Kita tunggulah apa yang diputuskan oleh TYT (Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam).

"TYT akan memutuskan. Jadi kita tunggulah," katanya.

Ditanya adakah kemungkinan kemelut politik Melaka boleh berjangkit atau merebak ke tempat lain, beliau berkata, dalam politik sukar membuat spekulasi tepat mengenai apa yang akan berlaku.

"Kita harap keadaan stabil. Sekarang ini selepas MoU (perjanjian persefahaman) ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang, kita lihat politik stabil.

"Bukan saja kita lihat stabil di dalam Parlimen, keadaan tenang di dalam Parlimen tetapi seluruh negara pun keadaan stabil dan rakyat happy (gembira) dengan keadaan seperti ini.

"Tidak berlaku politiking melampau seperti dulu yang akhirnya rakyat lihat orang politik ini hanya berpolitik tanpa melihat kepada kepentingan negara dan sebagainya," katanya.

Disiarkan pada: October 5, 2021 @ 11:24am
d