mutakhir

Sampah di Pantai Remis meningkat tiga kali ganda

Oleh Amirul Aiman Hamsuddin

Kuala Selangor: Mengejutkan apabila kutipan sampah di Pantai Remis, Jeram, dekat sini, meningkat kepada tiga kali ganda selepas Selangor beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Ini berikutan, destinasi pelancongan popular itu dipenuhi ribuan pengunjung terutama cuti hujung minggu.

Mendedahkan perkara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Rahilah Rahmat berkata, jumlah purata sampah dikutip di Pantai Remis sekitar 100 kilogram sehari sebelum pelaksanaan PPN.

"Pihak kontraktor pembersihan kerap membuat pembersihan iaitu satu jam sekali untuk memastikan tiada pandangan 'tidak sepatutnya' berlaku di pantai ini," katanya.

Beliau ditemui dalam lawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han ke Pasar Basah Pasir Penambang, dekat sini, hari ini.

Pada masa sama, Rahilah berkata, selain Pantai Remis, perbuatan tidak bermoral itu turut berlaku di mana-mana kawasan awam dalam negara ini.

Beliau berkata, pihaknya berharap pengunjung sentiasa mengamalkan kesedaran sivik, contohnya, jika berkunjung ke Jepun, penduduk akan menyimpan sampah mereka dan tidak membuang di merata-rata tempat.

"MPKS turut melakukan pemantauan di kawasan itu dan mengingatkan pengunjung supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Ketika ini, tindakan penguatkuasaan secara berkala dilakukan selain rondaan bagi melihat kepatuhan orang ramai (terhadap SOP).

"Jika tidak mematuhi SOP, penguat kuasa MPKS akan mengambil tindakan termasuk mengenakan kompaun terhadap pengunjung yang melakukan kesalahan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, dua pusat pelancongan di daerah itu dibuka kepada pengunjung iaitu Bukit Melawati dibuka semula pada 2 Oktober lalu manakala Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pula dijadualkan dibuka pada 9 Oktober ini.

Disiarkan pada: October 5, 2021 @ 8:22pm
d