mutakhir

MCMC nafi berlaku siber pandemik

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mendapati tular satu poster berhubung amaran berlakunya siber pandemik dikaitkan dengan gangguan teknikal membabitkan media sosial Facebook dan Instagram serta aplikasi WhatsApp selama hampir enam jam, bermula malam tadi.

MCMC berkata, menurut kenyataan dikeluarkan Facebook, mereka menjelaskan gangguan teknikal terhadap perkhidmatan Facebook, Instagram dan WhatsApp yang berlaku adalah berpunca daripada perubahan konfigurasi di peringkat penyelarasan trafik rangkaian mereka.

"Pihak MCMC ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan Jata Negara tanpa kebenaran kerana ia adalah satu kesalahan mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963.

"Selain dari itu, pihak MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat diragui atau tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana perbuatan sedemikian boleh mencetuskan kekeliruan serta panik dalam kalangan rakyat," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Pihak MCMC sedang giat mengesan pihak yang mengeluarkan poster itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang menyebarkan berita tidak benar di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Disiarkan pada: October 5, 2021 @ 10:10pm
d