mutakhir

Mandi laut kerana badan gatal sebelum lemas

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Mayat lelaki mangsa lemas ditemukan terdampar di pantai di Batu 4 1/2, di sini, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima maklumat pada 6.40 petang mengenai penemuan mayat pesara kerajaan berusia 59 tahun itu.

Beliau berkata, sepasukan polis dari Balai Port Dickson, Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dan Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dikejarkfan ke tempat kejadian.

"Polis tidak menemui sebarang unsur jenayah ketika pemeriksaan pada tubuh badan mangsa dan mangsa dipercayai lemas ketika mandi di pantai.

"Menurut keluarga mangsa, mangsa keluar dari rumah seorang diri dengan menunggang motosikal pada 6 petang untuk mandi laut kerana badan mangsa berasa gatal.

"Pada 6.30 petang, seorang lelaki yang menginap di resort berdekatan menjumpai mangsa terdampar di tepi pantai sebelum memaklumkan kepada polis," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Aidi Sham berkata, hasil bedah siasat dilakukan hari ini mengesahkan punca kematian adalah disebabkan 'Fatal Drowning'.

Disiarkan pada: October 5, 2021 @ 10:46pm
d