mutakhir

Lelaki ditahan mengintai, rakam video di tandas lelaki

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Subang Jaya: Tindakan seorang lelaki berkelakuan tidak senonoh mengintai dan merakam video di dalam tandas lelaki stesen minyak di Batu 3, Shah Alam, dekat sini, mengundang padah apabila ditahan polis, pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pada 2.25 pagi, kaunter aduan Balai Polis Subang Jaya menerima aduan daripada seorang lelaki berhubung tangkapan awam di stesen minyak itu.

Menurutnya, anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kemudian membuat tangkapan semula ke atas seorang lelaki berusia 37 tahun.

"Suspek ditahan orang awam yang hendak menggunakan tandas apabila didapati sedang merakam pengguna di tandas bersebelahan menggunakan telefon bimbitnya.

"Hasil pemeriksaan telefon bimbit suspek, didapati banyak rakaman video orang awam sedang membuang air kecil," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Abd Khalid berkata, suspek dibawa ke Balai Polis Subang Jaya untuk tindakan selanjutnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihati supaya berhati-hati dan mematuhi undang-undang serta tidak berkelakuan melampaui batas.

Disiarkan pada: October 5, 2021 @ 11:06pm
d