mutakhir

Pemilik babi sudah bersihkan rumah

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Seberang Perai: Penyewa yang didakwa meninggalkan dua ekor babi peliharaan selepas berpindah dari sebuah rumah teres dua tingkat di perumahan elit di Tasek Mutiara di sini, sudah melakukan pembersihan kediaman.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) Datuk Rozali Mohamud berkata, pihaknya yang melakukan pemantauan di lokasi pada hari ini mendapati kerja pembersihan sudah dijalankan.

Katanya, dua ekor haiwan peliharaan itu juga dipindah keluar ke pusat jagaan khas oleh pemiliknya pada petang ini.

"Pegawai Veterinar yang berada di lokasi mendapati tiada isu pengabaian atau penganiayaan terhadap haiwan itu.

"Isunya di sini lebih menjurus kepada kacau ganggu ekoran bau, najis, dan kediaman yang tidak diselenggara susulan pemeliharaan haiwan itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan aduan penduduk mengenai tindakan penyewa yang meninggalkan dua ekor babi peliharaan selepas berpindah sejak Jun lalu.

Tindakan itu bukan saja menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk, malah kebersihan kawasan sekitarnya juga diragui.

Walaupun tidak bersetuju dengan tindakan memelihara babi di kediaman, jiran terpaksa memberi makanan kerana kasihankan pada haiwan itu yang kelaparan.

Rozali berkata, selepas mendapat aduan daripada penduduk, beliau meninjau ke lokasi bersama jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Katanya, beliau sudah bertemu dengan penyewa rumah yang juga pemilik haiwan itu.

"Susulan itu, notis pembersihan kediaman dan menghentikan pemeliharaan haiwan yang menyebabkan kacau ganggu sudah diberi kepada penyewa berkenaan.

"Pemilik haiwan itu diberi masa 24 jam bagi menyelesaikan masalah berkenaan, bukan tempoh tiga hari seperti yang didakwa penduduk.

"Notis berkenaan adalah seiring dengan tempoh notis yang dikeluarkan pihak JMB sendiri," katanya.

Berita berkaitan

Pindah rumah, tinggal babi

Disiarkan pada: October 6, 2021 @ 4:44pm
d