mutakhir

2 Adun terima tawaran untuk sertai PH [METROTV]

Oleh Hassan Omar

Melaka: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Nor Azman Hassan dan Adun Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron, akan menyertai parti komponen Pakatan Harapan (PH) pada waktu sesuai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Nor Azman berkata, beliau dan Idris sudah menerima tawaran daripada beberapa pemimpin PH untuk menyertai parti masing-masing tetapi masih membuat pertimbangan sewajarnya.

"Ia bagi memastikan kami bukan setakat menang malah mampu membentuk kerajaan negeri selepas itu.

"Saya dan Datuk Seri (Idris) akan buat keputusan parti mana yang akan kami sebelum PRN. Tetapi yang dua orang lagi (Adun Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee dan Adun Telok Mas Datuk Noor Effandi Ahmad) saya tidak tahu," katanya pada sidang media bersama-sama Idris di Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini, hari ini.

Nor Azman bagaimanapun enggan mengulas parti atau pemimpin yang menghubungi mereka untuk menyertai PH.

Kata Nor Azman, beliau akan mempertahankan kerusi Pantai Kundor yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) manakala Idris mempertahankan kerusi Sungai Udang yang sudah dimenanginya selama dua penggal.

Pada masa sama, Nor Azman berkata, beliau yakin dengan majoriti undi 710 yang diperoleh pada PRU-14, beliau mampu mempertahankan kerusi Pantai Kundor pada PRN.

Disiarkan pada: October 6, 2021 @ 4:47pm
d