mutakhir

Kes AEFI terhadap remaja adalah ringan, bersifat sementara

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Berdasarkan pemantauan kesan advers susulan imunisasi (AEFI) Covid-19 terhadap kanak-kanak dan remaja, beberapa kes dilaporkan adalah ringan serta bersifat sementara.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia seperti rasa sakit, bengkak, kemerahan di tempat suntikan, penat, sakit kepala, sakit sendi, demam, loya dan rasa tidak sihat.

Beliau berkata, vaksin berkemungkinan mempunyai kesan sampingan AEFI seperti ubat-ubatan lain.

"Dalam proses pelaksanaannya kepada golongan remaja, hanya vaksin diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sahaja akan diberikan.

"Setakat ini, beberapa kes AEFI dilaporkan adalah ringan dan bersifat sementara. Jika berlaku kesan serius susulan daripada vaksin Covid-19, kerajaan pada 17 Mac 2021 mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin Covid-19," katanya pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemberian vaksin kepada remaja dilakukan secara sukarela dan ibu bapa bertanggungjawab membuat pilihan terbaik selepas membaca serta memahami maklumat mengenai vaksin dibekalkan.

Katanya, kerajaan akan terus berusaha memberikan penerangan berhubung faedah vaksin kepada ibu bapa dan remaja sebagai langkah melindungi diri mereka daripada jangkitan virus Covid-19.

"Selain itu, kerajaan merancang memberi fokus kepada pemberian vaksin dos ketiga dan booster dose (dos penggalak) kepada kumpulan berisiko tinggi.

"Ini seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun, warga emas dengan komorbiditi dan individu tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang.

"Dianggarkan 7.15 juta individu daripada kumpulan itu dijangka terlibat dalam pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin nanti," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2021 @ 7:10pm
d