mutakhir

10 pelancong ditahan langgar SOP, miliki dadah dalam bilik hotel

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Polis menahan 10 pelancong lelaki kerana berkumpul dalam sebuah bilik dan merampas sejumlah dadah serta ubat batuk di sebuah hotel di Pantai Tengah, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, kumpulan lelaki berusia di antara 23 dan 31 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis pada 1.30 pagi.

"Berbekalkan maklumat awam kerana mencurigai aktiviti sekumpulan lelaki, sepasukan polis membuat serbuan dan mendapati 10 lelaki berada dalam sebuah bilik di hotel itu.

"Pemeriksaan fizikal ke atas semua suspek dan sekitar bilik menemukan lapan paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin seberat 7.20 gram (g), selain dua botol ubat batuk," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Shariman berkata, siasatan mendapati semua suspek adalah pelancong dari Kuala Lumpur dan sedang bercuti di pulau itu susulan pembukaan projek rintis gelembung pelancongan.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing pula mendapati enam daripadanya positif dadah jenis ketamin, manakala empat lagi negatif.

"Semua suspek turut dikenakan kompaun RM4,000 seorang atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul dalam bilik hotel sama dan melakukan aktiviti sukar melaksanakan penjarakan sosial.

"Mereka kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Perkara 9 Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB)," katanya.

Disiarkan pada: October 6, 2021 @ 9:15pm
d