mutakhir

Pelacur 'rumah merah' bekerja ikut dua syif

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kegiatan pelacuran wanita warga asing yang menggunakan apartmen kos rendah sebagai sarang pelacuran terbongkar dalam dua serbuan di Jalan Pudu, di sini, semalam.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya menyerbu dua premis 'rumah merah' itu secara serentak pada jam 3.30 petang.

Katanya, seramai 27 pegawai Imigresen terbabit dalam serbuan itu. .

"Semasa serbuan, kami menahan penjaga untuk dibawa ke premis terbabit. Terdapat cubaan meloloskan diri oleh wanita warga asing berkenaan dan pelanggan, namun gagal, kerana semua jalan keluar sudah dikepung.

"Dalam serbuan ini, seramai 13 warga asing membabitkan lapan wanita warga Vietnam, empat wanita Indonesia serta seorang lelaki Vietnam berusia antara 20 hingga 40 tahun ditahan.

"Dua lelaki tempatan yang juga penjaga pintu dan enam pelanggan warga tempatan pula dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, dua premis di apartmen kos rendah itu disyaki menjalankan kegiatan pelacuran ketika tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Katanya, hasil risikan mendapati premis itu dikunjungi pelanggan tempatan dan warga asing dengan menawarkan pakej perkhidmatan seks pada harga RM60 bagi satu langganan.

"Modus operandi sindiket ini adalah pelanggan berjumpa penjaga pintu dan dibawa ke premis bagi tujuan pemilihan pelacur.

"Kegiatan pelacuran ini terbahagi kepada dua syif iaitu syif pagi dari 7 pagi hingga 3 petang dan syif petang bermula dari 3 petang hingga jam 9 malam.

"Kebiasaannya seorang pelacur mampu 'melayan' sehingga 14 pelanggan bagi satu syif," katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63.

"Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 10:11am
d