mutakhir

Anggota tentera jilat tangan wanita ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Anggota tentera yang mencabul seorang wanita dengan menjilat tangan mangsa di sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini kelmarin, ditahan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya membuat tangkapan terhadap seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di sebuah rumah di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, jam 12.30 tengah malam tadi.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas pakaian seragam yang dipercayai dipakai suspek ketika kejadian.

"Siasatan awal mendapati suspek bertugas di Cawangan Tentera Darat, Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur dan berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selama tujuh tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, ujian saringan awal air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah.

"Permohonan reman terhadap suspek dibenarkan selama empat hari bermula hari ini sehingga 10 Oktober nanti.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini sedang dijalankan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan pekerja wanita sebuah kedai vape di Taman Keramat, di sini, trauma selepas menjadi mangsa cabul lelaki memakai pakaian seragam tentera, tengah hari kelmarin.

Dalam kejadian pada 1 tengah hari itu, mangsa berusia 18 tahun didatangi suspek yang ingin membeli barangan vape sebelum dia keluar selepas selesai melakukan urusan itu.

Mohamad Farouk dilaporkan berkata, suspek masuk semula ke dalam kedai dan memberitahu pod vape dibelinya tidak berfungsi.

Katanya, mangsa kemudian memeriksa pod itu dan menggantikan dengan yang baru.

"Mangsa menyerahkan pod vape terbabit dan ketika itu, suspek mengambil kesempatan memegang tangan mangsa serta turut menjilat tangan mangsa.

"Selepas mangsa beritahu ada kamera litar tertutup (CCTV), suspek terus melepaskan tangan mangsa dan beredar dari tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, semalam.

Berita berkaitan

Abang askar jilat tangan pekerja wanita diburu polis

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 4:06pm
d