mutakhir

Tidak akan hantar anak mangsa dera untuk dijaga pengasuh lagi

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: "Susah atau senang, saya akan mengurus anak selepas ini dan tidak akan menghantar mereka lagi ke rumah pengasuh," kata ibu tunggal, M Vikneswari.

Vikneswari, 30, berkata, ia bukan bermaksud dia tidak mempercayai mana-mana pengasuh namun dia masih terkilan dengan nasib menimpa anaknya yang berusia enam dan 11 tahun selepas menjadi mangsa dera pengasuh.

Menurutnya, tambahan pula, majikannya berhasrat menyediakan tempat perlindungan dan penjagaan kepada anaknya.

"Saya bersyukur kerana kesihatan anak semakin baik dan luka yang bernanah sebelum ini juga semakin pulih.

"Mereka kelihatan lebih ceria dan bertenaga berbanding sebelum ini. Saya harap keadaan mereka bertambah baik dan dibenarkan pulang ke rumah secepat mungkin.

"Saya juga berterima kasih kepada semua yang mendoakan keluarga kami dan ia memberi semangat kepada saya untuk menempuh saat yang sukar ini," katanya dihubungi hari ini.

Sementara itu, majikan Vikneswari, P Anbarasu berkata, bagi mengelak perkara berkenaan berulang, keluarganya sanggup memberi perlindungan kepada tiga beranak berkenaan.

Menurutnya, keluarganya turut berusaha menguatkan semangat Vikneswari yang tertekan dengan kejadian terbabit.

"Vikneswari dan anaknya boleh tinggal di rumah kami di Skudai sehingga keadaan mereka baik, termasuk daripada segi kesihatan anak mahupun kewangan keluarganya.

"Keluarga kami bersyukur kerana berpeluang beramal selain memastikan dua beradik itu tidak keciciran dalam pelajaran," katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan kisah dua beradik yang menjadi mangsa dera pengasuh mereka.

Kedua-duanya dikatakan dipukul dan dicederakan dengan rotan, ditoreh pisau, disimbah air panas selain dicucuh puntung rokok.

Disiarkan pada: October 7, 2021 @ 4:33pm
d