mutakhir

Pemandu e-hailing tunjuk anu diburu polis

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Subang Jaya: Polis sedang mengesan pemandu e-hailing yang menunjukkan kemaluannya kepada seorang wanita dalam kejadian di hadapan bangunan pejabat di daerah ini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berhubung kejadian itu, 6.36 petang, Selasa lalu.

"Menurut pengadu, dia mengambil barang yang dipesan daripada pemandu e-hailing berkenaan di hadapan bangunan pejabatnya sebelum ternampak zip seluar suspek dalam keadaan terbuka sehingga menampakkan kemaluan lelaki terbabit.

"Ketika wanita itu mahu mengambil barang daripada suspek, lelaki itu bertindak memegang pergelangan tangan kiri wanita berkenaan.

"Namun, wanita itu menarik tangannya dan terus beredar dari lokasi. Wanita itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya berhubung kejadian itu," katanya dalam kenyataan, semalam.

Abd Khalid berkata, ketika kejadian, suspek menggunakan Proton Bezza yang berbeza dari rekod dalam pesanan aplikasi syarikat e-hailing berkenaan.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343 untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: October 8, 2021 @ 1:08pm
d