mutakhir

Siasat penduduk Kedah bawa Covid-19 masuk Perlis

Oleh Izad Thaqif Hassan

Alor Setar: Tindakan tegas akan diambil terhadap penduduk Kedah yang sengaja merentas negeri tanpa kebenaran polis sehingga menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di Perlis ketika ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya memandang serius isu berkenaan dan akan bekerjasama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Kita akan siasat dan semak individu yang dipercayai merentas negeri tanpa kebenaran dan didapati positif Covid-19 di Perlis.

"Sekiranya ada penduduk negeri ini yang didapati merentas negeri ke Perlis tanpa kebenaran dan menyebabkan jangkitan Covid-19 di negeri itu, kita tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas termasuk kompaun," katanya, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya juga akan memantau dan melakukan rondaan di kawasan lorong tikus yang dikenal pasti digunakan penduduk Kedah untuk menyeberang masuk ke Perlis.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik berkata, kes jangkitan harian Covid-19 di Perlis didapati melonjak ke paras tertinggi akibat aktiviti rentas negeri secara haram.

Menurutnya, 200 kes Covid-19 dilaporkan di Perlis semalam, yang dipercayai akibat aktiviti rentas negeri secara haram dilakukan penduduk dari Kedah.

Selain itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan individu tidak bertanggungjawab itu mengelak sekatan jalan raya dengan menggunakan laluan tikus untuk masuk ke Perlis.

Disiarkan pada: October 8, 2021 @ 2:50pm
d