mutakhir

Kesian 'Meow' tersepit lubang

Oleh Nuraliawati Sabri

Melaka: Walaupun dianggap kes remeh namun sepasukan anggota bomba tetap berusaha sedaya upaya menyelamatkan seekor kucing yang terperangkap dalam saluran air.

Dalam kejadian jam 12.45 tengah hari tadi, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah berjaya menyelamatkan seekor kucing di Tengkera di sini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Norezura Md Azam berkata, anggotanya bertindak melakukan usaha menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan dilakukan ejen perumahan.

Menurutnya, mereka mendapati seekor kucing terperangkap di lubang salur air di dalam tandas bilik utama di sebuah rumah.

"Hanya dua kaki belakang dan ekor haiwan itu sahaja kelihatan manakala kepala serta sebahagian badan lain sudah masuk ke dalam lubang.

"Kami dimaklumkan kediaman itu kosong dan ketika kejadian pihak ejen datang untuk membersihkan kediaman itu sebelum kucing berkenaan meluru masuk ke dalam rumah.

"Ejen terbabit sudah cuba menarik kucing itu keluar tetapi tidak berjaya sebelum menghubungi bomba bagi mendapatkan bantuan," katanya.

Menurutnya, bomba mengambil masa kira-kira lima minit sebelum berjaya mengeluarkan kucing itu.

"Operasi menyelamat sedikit sukar kerana keadaan salur air itu berada dalam keadaan bengkok menyebabkan badan kucing itu tersangkut," katanya.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 4:14pm
d