mutakhir

Terus gigih jual surat khabar sejak 42 tahun lalu

Oleh Roselan Ab Malek

Temerloh: Minat mendalam dan mempunyai ramai rakan pelbagai bangsa membuatkan K Mutusamy, 64, masih setia berniaga bahan bacaan termasuk surat khabar dan majalah sejak 42 tahun lalu.

Walaupun menyedari generasi muda lebih cenderung mendapatkan bahan bacaan menerusi media sosial, tetapi masih ada golongan tertentu gemar membaca akhbar mahupun majalah atau buku.

Pada masa sama, Mutusamy bukan nama asing bagi penduduk Mentakab yang biasa membeli surat khabar dan majalah kerana kedainya menjual semua jenis surat khabar dan majalah yang ada di pasaran sekian lama.

Mutusamy berkata, pada usianya dia tetap membuka kedainya seawal jam 5 pagi setiap hari untuk menerima akhbar dan majalah sebelum mengedar kepada penjual yang lain.

Menurutnya, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia bekerja di ladang kelapa sawit di Tronoh, Perak tetapi tidak sesuai dengan jiwanya lalu berhijrah ke Mentakab, Pahang pada 1979 untuk bekerja dengan ejen surat khabar.

"Sejak itu minatnya terhadap penjualan surat khabar semakin mendalam dengan mengambil keputusan membuka sebuah kedai menjual surat khabar dan majalah sendiri.

"Hasil duit simpanan, saya membeli sebuah kedai dan berkongsi dengan seorang kawan pada 1987," katanya.

Katanya, dia dapat merasai keseronokan apabila menjual surat khabar kerana orang ramai bertumpu ke kedainya sejak awal pagi untuk membeli pelbagai jenis akhbar dan majalah seperti menjual goreng pisang.

"Masa itu, selain surat khabar utama, terdapat bermacam-macam surat akhbar tabloid. Begitu juga dengan majalah. ada bermacam-macam. Memang seronok ketika itu kerana ada pelanggan akan 'booking' awal takut kehabisan," katanya.

Katanya, jika ada sesuatu kejadian besar berlaku dalam negara, surat khabar laku kerana mereka ingin membaca akhbar untuk mengetahui perkembangan .

"Saya seronok buat kerja ini sejak 42 tahun lalu dan akan meneruskannya sehingga ke akhir hayat walaupun mengakui sambutan daripada pelanggan tidak semeriah dulu dan semakin merosot.

"Kalau dulu saya boleh jual ribuan naskhah pelbagai akhbar sehari, tetapi sekarang nak habiskan seratus naskhah pun susah," katanya.

Menurutnya, generasi muda masa kini kurang berminat membaca akhbar kerana mereka lebih suka membaca berita daripada media sosial.

Katanya, rata-rata pembeli surat khabar sekarang adalah golongan berusia 50 tahun ke atas kerana mereka berasa lebih puas jika membaca akhbar edisi cetak.

"Bagaimanapun, saya percaya pada satu hari nanti orang ramai akan kembali membaca akhbar cetak, tetapi bila masanya tidak pasti," katanya.

Katanya, dia mempunyai ramai rakan pelbagai bangsa sejak menjual surat khabar serta majalah dan hidupnya tidak sunyi kerana setiap pagi mereka akan datang untuk berbual-bual sambil membeli surat khabar.

Mutusamy yang berkahwin dengan S Thanalstchimy, 59, dikurniakan tiga anak dan kini mempunyai dua cucu.

Anak sulungnya Prakash Seelan, 37, kini bertugas sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan, manakala anak kedua Tinagaran, 34, dan anak ketiga Rubni Dewa bertugas sebagai guru.

Disiarkan pada: October 10, 2021 @ 4:25pm
d