mutakhir

Wanita pukul kanak-kanak autisme didakwa Rabu ini

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Ampang Jaya: Wanita Singapura yang dipercayai memukul seorang kanak-kanak autisme di sebuah pusat intervensi di daerah ini, minggu lalu akan didakwa di mahkamah pada Rabu ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan berhubung kes itu sudah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini.

"Pihak polis sudah menerima arahan untuk menuduh wanita berkenaan yang juga pengurus pusat intervensi berkenaan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 pada 13 Oktober ini.

"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu pengabaian kanak-kanak, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.

"Bagi Seksyen 15 (1) Akta Imigresen 1952 iaitu tinggal lebih masa dan tiada pas sosial tamat tempoh pula boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam kali sebatan jika sabit kesalahan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis menahan seorang wanita warga Singapura yang juga pengurus di sebuah pusat intervensi kanak-kanak selepas dipercayai memukul seorang kanak-kanak autisme.

Mohamad Farouk dilaporkan berkata, wanita terbabit berusia 51 tahun ditahan Sabtu lalu selepas polis menerima laporan yang dibuat bapa mangsa, minggu lalu.

Terdahulu, bapa mangsa memuat naik gambar dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di laman Facebook mendakwa anaknya dipukul, dan hantaran itu tular serta mendapat reaksi pelbagai pihak.

Disiarkan pada: October 11, 2021 @ 6:46pm
d