mutakhir

14 sistem PRAB sedia beroperasi

Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Sebanyak 14 sistem Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) sedia beroperasi bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang bermula awal November ini.

Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dr Salwa Ramly berkata, sistem itu berfungsi membuat ramalan banjir untuk tujuh hari ke hadapan berdasarkan data ramalan hujan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

"PRAB mula beroperasi di tiga lembangan sungai utama iaitu di Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 2017.

"Sekarang kita di fasa dua membabitkan 11 lagi PRAB di lembangan sungai zon utara termasuk di Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak sedia beroperasi untuk Monsun Timur Laut kali ini.

"Untuk fasa ketiga tahun depan, kita jangkakan ada 13 lagi PRAB akan siap termasuk sungai kecil di Pantai Timur seperti Dungun dan Kuantan serta sungai Johor, Sarawak dan Sabah yang dibuat secara berperingkat," katanya pada sesi Forum Iklim Kebangsaan: Monsun Timur Laur t 2021/2022 secara maya, hari ini.

Beliau berkata, sistem yang berupaya memberikan ketepatan data ramalan banjir antara 65 hingga 70 peratus itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Menurutnya, ia perlu sentiasa dikemas kini dan maklumat adalah lebih tepat dua hari sebelum kejadian banjir.

Selain menggunakan data ramalan hujan, data stesen JPS yang ada juga kita tambahkan sebagai input ramalan banjir.

"Apabila kita dapat ramalan itu, kita akan keluarkan amaran banjir dan salurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) sebelum mereka sampaikan kepada pasukan responder atau agensi penyelamat lain untuk membuat persediaan di lokasi dijangkakan banjir," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, JPS berjaya menyelenggara sistem saliran besar termasuk sungai, monsun drain (longkang monsun) dan perparitan di seluruh negara sebelum tiba Monsun Timur Laut.

Menurutnya, situasi Covid-19 sedikit sebanyak mengganggu perjalanan kerja menyelenggara, namun dengan hasil kerja keras pasukan, semua tugas itu dilakukan mengikut jadual.

"Kita perlukan kerjasama masyarakat supaya tidak membuang sampah merata-rata walaupun tidak buang sampah secara langsung ke sungai, namun apabila hujan ia akan membawa sampah itu dalam sistem perparitan kawasan rumah mereka sebelum akhirnya sampah itu masuk ke sungai.

"Ada individu tidak bertanggungjawab membuang sofa atau tilam yang menyebabkan banjir lebih buruk contohnya yang pernah berlaku di Johor," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 4:48pm
d