mutakhir

Bantuan Khas Sarawakku Sayang diteruskan

Oleh Mohd Roji Kawi

Kuching: Sarawak meneruskan Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, bantuan khas itu yang memasuki siri kelapan akan disalurkan, tahun depan.

Beliau berkata, BKSS 8.0 itu berjumlah RM285.47 juta merangkumi enam bulan pertama tahun depan serta bantuan kewangan sekali beri.

"BKSS 8.0 itu termasuk juga diskaun bil elektrik bernilai RM166.8 juta yang akan memberi manfaat kepada 647,000 penerima serta diskaun bil air yang bernilai RM24.0 juta memberi manfaat kepada 646,131 penerima.

"Bantuan itu turut merangkumi 50 peratus diskaun sewa Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bernilai RM2.6 juta yang memberi manfaat kepada 3,200 penyewa dan pengecualian sewa kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di sektor runcit yang beroperasi di premis milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernilai RM2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Belanjawan Negeri Sarawak 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Menurutnya, inisiatif lain yang turut diteruskan dalam BKSS 8.0 ialah diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai milik pihak berkuasa tempatan berjumlah RM1.7 juta yang memberi manfaat kepada 10,165 penyewa.

Turut diteruskan geran khas sekali beri sebanyak RM1,000 kepada 87,500 penjaja dan peniaga kecil melalui Sarawak Pay berjumlah RM87.5 juta.

"Sebelum ini kerajaan negeri mengambil langkah sokongan kewangan langsung dan tidak langsung menerusi BKSS 1.0 hingga BKSS 7.0 pada 2020 dan 2021 bernilai RM5.3 bilion membabitkan lebih 30 inisiatif yang sudah dilaksanakan.

"Keutamaan kerajaan negeri ialah untuk melindungi kesihatan rakyat dan menghidupkan kembali ekonomi ketika kesan buruk melanda akibat Covid-19," katanya.

Disiarkan pada: October 12, 2021 @ 5:23pm
d